KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan meneroka kerjasama dengan restoran Bumbu Babah bagi melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan Bumiputera dalam bidang makanan dan minuman (F&B).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia juga supaya lebih ramai usahawan bumiputera dapat melonjak daripada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kepada syarikat berskala besar.
Menurutnya, beliau berbangga kerana dalam tempoh kurang dua tahun beroperasi sejak November 2024, Bumbu Babah yang diasaskan oleh para usahawan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya berkembang sehingga 40 outlet di seluruh negara.
Ujarnya, ia merupakan satu pencapaian luar biasa dan membuktikan potensi besar perniagaan itu dalam melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan bumiputera dalam sektor F&B.
“Saya amat berbangga melihat contoh usahawan Melayu Bumiputera yang membina perniagaan secara tersusun, profesional dan berjiwa besar dalam membina empayar perniagaan.
“Inilah model keusahawanan yang selari dengan agenda 3P MARA, Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan Bumiputera khususnya dalam sektor makanan dan minuman yang berimpak tinggi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Asyraf Wajdi berkongsi pengalaman pertamanya berkunjung ke Bumbu Babah, Outlet Bangsar South (The Sphere) semalam, selepas menerima pelawaan daripada Suhazlee Othman bersama Ajak Shiro yang juga seorang selebriti.
Malah beliau turut menyifatkan hidangan Nasi Padang dan masakan Nusantara berasaskan resipi tradisional seperti rendang, kari dan gulai yang disajikan di restoran itu amat sedap, autentik dan menepati selera rakyat Malaysia.
Sementara itu, kata Asyraf Wajdi, beliau menyimpan cita-cita untuk melihat Bumbu Babah suatu hari nanti tersenarai di Bursa Malaysia sebagai kebanggaan usahawan Bumiputera.
“Mara akan terus menjadi pemangkin kepada agenda ini demi masa depan ekonomi Bumiputera yang lebih gemilang,” katanya. – MalaysiaGazette
















