KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan penganjuran program songsang adalah satu dosa yang lebih besar berbanding maksiat dosa besar yang lain.
Menurut beliau, tidak ada orang yang sahih imannya serta betul fitrahnya reda dengan penganjuran program sedemikian.
Sehubungan itu, beliau menerusi catatan ringkas di laman sosial Facebooknya hari ini menekankan, tindakan tegas dan hukuman berat kepada pihak yang menganjurkan program tersebut adalah sesuatu yang wajar.
Terdahulu, pelbagai pihak membantah dan mendesak penganjuran program ‘Glamping With Pride‘ di di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini, yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dibatalkan.
Bagaimanapun, difahamkan, penganjur program itu tetap akan meneruskan program tersebut kerana mendakwa tidak melanggar undang-undang negara.
Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee hari ini berkata, pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi penganjuran program tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya telah menerima lima laporan berhubung iklan penganjuran program ‘Glamping With Pride’ tersebut.
Naazron berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette
















