Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO diseru supaya jangan jadi `penakut’ dan berhenti menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebagai medan menggesa kerajaan supaya memberi pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, UMNO ketika ini merupakan sebahagian daripada kerajaan dan mempunyai seramai tujuh wakil sebagai menteri.

Malah, katanya, Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, ujarnya, dengan kekuatan itu, UMNO sepatutnya dapat mengemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Najib mendapat pengampunan penuh.

“Tetapi kamu tidak berani berdepan dengan Anwar, dan kamu semua barangkali sebenarnya gembira melihat Najib dipenjarakan seumur hidup.

“Berlaku jujurlah kepada ahli-ahli kamu. Berapa banyak lagi PAU yang perlu diadakan, dan berapa banyak resolusi lagi yang perlu diluluskan? Untuk apa?

“Sampaikan kebenaran kepada ahli-ahli UMNO, bahawa Anwar dan Zahid lebih suka Najib tidak mendapat pengampunan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd Zaid yang juga ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara berkata, ahli-ahli UMNO juga sepatutnya sedar mereka sebenarnya diperalatkan.

Dakwanya, `drama’ meluluskan usul resolusi dan deklamasi sajak berkenaan nasib yang menimpa Najib hanyalah satu sandiwara semata-mata.

“Berhentilah membuang masa. Najib tidak akan dibebaskan selagi Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Bincangkan perkara-perkara yang lebih penting yang sepatutnya dipertimbangkan oleh parti, supaya orang ramai masih mempunyai sedikit rasa hormat terhadap parti Melayu ini,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 104 bahagian seluruh negara menghantar usul berhubung pengampunan penuh terhadap Najib untuk dibahaskan dalam PAU 2025 yang akan berlangsung minggu depan.

Usul itu merupakan yang paling banyak diterima Ibu Pejabat UMNO daripada keseluruhan 662 usul yang dikemukakan susulan persidangan bahagian-bahagian UMNO seluruh negara tahun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pengampunan penuh Najib: Usul terbanyak, terpanas diterima PAU 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast