Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di PWTC, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Daripada 662 usul yang diterima untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) minggu depan, usul pengampunan penuh Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan ‘paling panas’ dan paling banyak diterima, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, sejumlah 104 daripada 191 Bahagian UMNO seluruh negara mengemukakan usul menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ehsan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberikan pengampunan penuh kepada bekas Presiden UMNO tersebut.

Tambahnya, selain usul tersebut, pihaknya juga menerima usul-usul lain yang berkisar berkenaan pemerkasaan agama, politik dan ekonomi.

“Usul ini adalah lebih kepada memohon kepada keampunan Yang di-Pertuan Agong, kerana saya rasa para perwakilan pun cukup celik dari segi undang-undang.
“Yang ada kuasa untuk mengampunkan bukan kerajaan, tetapi ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak dijemput pada PAU 2025 memandangkan UMNO mahu memberikan tumpuan kepada isu-isu dalaman parti serta bagi membolehkan perwakilan berbahas secara terbuka.

Bagaimanapun, ujar beliau, PAU 2025 tetap menjemput pemimpin MCA dan MIC serta parti komponen BN lain seperti tradisi sebelum ini.

PAU 2025 akan membuka tirai pada 14 Januari depan selama empat hari dengan seramai 6,412 perwakilan sudah mengesahkan kehadiran.

Daripada jumlah itu, seramai 2,928 perwakilan akan menghadiri PAU; Perhimpunan Agung Wanita (1,165 orang); Perhimpunan Agung Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Puteri (1,146 orang).

Turut diadakan sempena PAU 2025 adalah Multaqa Ilmuwan Islam yang menampilkan ahli panel termasuk Mufti Perlis, Datuk Seri Dr. Asri Zainal Abidin dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadhil.

Selain itu, turut diadakan adalah Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO yang aka dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta pelancaran program Jom Sihat oleh Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast