KUALA LUMPUR – Program Glamping With Pride berada dalam pemantauan rapi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam.
Katanya, tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam masa yang sama, tambah beliau, Jakim akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.
Jelasnya, ia supaya umat Islam tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup kerana ia jelas bertentangan dengan agama, undang-undang dan budaya setempat.
“Sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dikompromi.
“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program Glamping With Pride di Hulu Langat yang akan diadakan minggu depan.
Sementara itu, Sirajuddin berkata, sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan seks songsang adalah jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran agama Islam.
Selain itu, ujarnya, ia juga bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara.
“Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii,” katanya. – MalaysiaGazette
















