Poster program Glamping with Pride yang akan dianjurkan di Selangor, minggu depan.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, umat Islam diingatkan tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT.

Ini kerana, ujarnya, ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat negara ini.

“MAIS menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam.

“Dalam masa yang sama, MAIS menasihatkan mereka yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang ini untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau pihak NGO yang menawarkan pemulihan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/01/09/jais-digesa-ambil-tindakan-tegas-penganjuran-glamping-with-pride/

Datuk Salehuddin Saidin.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program Glamping With Pride di Hulu Langat yang akan diadakan minggu depan.

Sementara itu, Salehuddin berkata, MAIS menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan untuk memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT yang merosakkan masyarakat ini dapat disekat dan dicegah.

Ujarnya, MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha memastikan budaya songsang tidak lagi diamalkan di negeri itu. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast