KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sekadar bersifat teknikal perundangan.
Sehubungan itu, menurut Presidennya, Jais Abdul Karim, keputusan tersebut mampu membawa implikasi besar terhadap kebebasan institusi kehakiman, prinsip pengasingan kuasa serta kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara.
Jelasnya, peralihan daripada dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes itu tanpa pembentangan awam butiran dapatan baharu yang bersifat substantif dan meyakinkan, boleh mencetuskan persepsi serius bahawa keputusan tersebut dipengaruhi pertimbangan politik, bukan semata-mata undang-undang.
Lebih membimbangkan, ujarnya, keputusan itu hadir dalam konteks tekanan politik terbuka, termasuk ugutan pihak tertentu untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Madani.
“MCW mengakui Perlembagaan memberikan budi bicara kepada Peguam Negara.
“Namun, budi bicara tanpa ketelusan, tanpa kebertanggungjawaban awam, dan tanpa mekanisme semak imbang adalah berbahaya dalam negara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jais mengingatkan apabila kes berprofil tinggi melibatkan rasuah dan salah guna kuasa ditamatkan secara eksekutif, rakyat akan hilang keyakinan terhadap integriti pendakwaan.
Katanya, keadaan itu juga akan menyebabkan institusi kehakiman kelihatan terhakis kewibawaannya, manakala usaha membanteras rasuah menjadi slogan kosong.
“Keadilan yang dilihat tunduk kepada kuasa politik bukan keadilan.
“Jika institusi keadilan gagal meyakinkan rakyat bahawa undang-undang terpakai sama rata kepada semua, maka negara sedang melangkah ke arah normalisasi impuniti elit,” katanya. – MalaysiaGazette
















