Aaron Chia–Soh Wooi Yik. Foto FB BAM.

KUALA LUMPUR – Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau kejuaraan wakil negara di Terbuka Malaysia berterusan apabila tewas pada aksi final sebentar tadi.

Pasangan nombor dua dunia itu tunduk kepada kehebatan gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae selepas tewas sengit  di Axiata Arena Bukit Jalil.

Walaupun Aaron–Wooi Yik mendapat sokongan padu lebih 10,000 penonton, pasangan itu kecuncang 15-21, 21-12, 18-21 dalam pertarungan sengit.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menamatkan penantian melihat wakil negara muncul juara Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan lelaki, Lee Chong Wei, pada edisi 2018.

Malah, kemarau kejuaraan beregu lelaki negara di kejohanan berkenaan turut berlarutan sejak kali terakhir gandingan Goh V Shem–Lim Khim Wah menjulang gelaran pada edisi 2014.

Aaron–Wooi Yik juga masih perlu menunggu untuk meraih gelaran Super 1000 pertama dalam karier mereka apabila tewas kali ketujuh dalam final kejohanan berstatus tertinggi berkenaan.

Selaku juara, Kim Won Ho–Seo Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai AS$107,300 (RM439,232) manakala Aaron–Wooi Yik menerima AS$50,750 (RM207,745) sebagai naib juara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast