KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menjunjung dan menyokong sepenuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak bersetuju dengan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Beliau berkata, titah Istana Selangor itu tidak wajar dikesampingkan kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor dan sikap berdiam diri wakil rakyat kawasan berkenaan merupakan satu keingkaran dan pengkhianatan kepada kepentingan rakyat.
“Daulat Tuanku, hamba sokong sepenuhnya titah Tuanku. Sebaiknya wakil rakyat tersebut bukan setakat tinggal sebelah kawasan kandang babi, bahkan perlu tinggal sekali dalam kandang babi tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju khususnya apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
Secara prinsipnya, baginda akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat berbangsa Cina dan bukan Islam di Selangor.
Bagaimanapun baginda bertitah, perancangan berskala besar tidak wajar, sensitif dan seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam. – MalaysiaGazette
















