KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mahukan para hakim bekerja lebih keras sejajar dengan kenaikan gaji 30 peratus yang diterima bermula bulan ini.
Beliau berkata, hakim tidak menerima kenaikan tahunan dan dihalang daripada memegang jawatan lain atau terlibat dalam perniagaan.
“Kenaikan ini mencerminkan pengiktirafan ke atas badan kehakiman selain memperkukuh kebajikan para hakim,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Beliau berkata, lanskap undang-undang berkembang pesat yang memerlukan hakim mengikuti perkembangan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan baharu.
Menurut Ketua Hakim Negara, kenaikan gaji selaras dengan peningkatan tanggungjawab dan hakim-hakim perlu meningkatkan ilmu melalui pembacaan meluas.
Wan Ahmad Farid selanjutnya berkata, kenaikan gaji yang berpatutan menjadi pelindung kepada pengaruh yang tidak sepatutnya selain menggalakkan para hakim menjalankan tugas tanpa dibebani isu kewangan yang tidak wajar.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih badan kehakiman kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan ekoran pelaksanaan kenaikan gaji 30 peratus.
Beliau turut menyifatkan pelaksanaan itu penting dan tepat pada masanya kerana ia merupakan pelarasan pertama sejak sedekad lalu selepas semakan terakhir pada 2015.
Kenaikan itu pada pendapatnya menyumbang kepada kebebasan badan kehakiman daripada pengaruh yang tidak wajar. – MalaysiaGazette
















