KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan sebuah universiti swasta di Bukit Damansara yang terlibat insiden letupan kompresor pendingin hawa menjalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus.
Pihak universiti juga diarahkan memastikan kawasan terjejas disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum digunakan serta menyediakan sokongan kebajikan termasuk perubatan dan psikososial kepada semua mangsa yang terlibat.
KPT dalam kenyataannya hari ini menegaskan, ia memandang serius insiden tersebut dan dalam masa sama pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut.
Sebarang maklumat terkini berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“KPT merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga seorang mangsa yang maut serta sembilan orang lagi yang cedera termasuk empat orang pelajar dalam insiden letupan ketika kerja penyelenggaraan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pagi tadi,” katanya.
Tambahnya, KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin.
KPT katanya akan meneruskan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, penyelenggaraan berkala serta kerjasama dengan agensi berkaitan. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















