SEGAMAT – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah kereta yang mengubah haluan di Kilometer 153 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ng Swie Chait berkata, kemalangan berlaku pukul 6.15 pagi melibatkan mangsa yang berusia 50-an semasa kedua-dua kenderaan tersebut bergerak pada haluan yang sama.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal tersebut bergerak dari arah Labis menghala ke Chaah telah terlanggar bahagian tepi kanan kereta tersebut semasa mengubah haluan dari lorong kiri jalan ke lorong kanan jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang terbabit terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu terbabit pula yang berusia 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Swie Chait meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat07-9325811.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan I Umar Shahidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 6.38 pagi.
Susulan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 3 kilometer.
“Kemalangan menyebabkan penunggang maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Proton Persona itu tidak tersepit dan tidak mengalami kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















