Baby Shima.

PASIR GUDANG – Kebebasan berkarya dalam bidang seni wajar dihormati namun tidak seharusnya disalahgunakan sehingga mencemarkan adab, akhlak dan nilai kesopanan masyarakat.

Timbalan Setiausaha I Wanita Keadilan Pusat, Noraziah Mohd Razit berkata, penerbitan dan penyebaran seperti sebuah lagu nyanyian penyanyi tempatan, Baby Shima yang mengandungi lirik berunsur dwimakna dan lucah bertentangan dengan nilai budaya dan moral masyarakat tempatan.

Katanya yang juga Exco Wanita Keadilan Pusat, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana melibatkan martabat seni, sensitiviti masyarakat serta pembentukan sahsiah generasi muda.

“Kebebasan berkarya dalam bidang seni wajar dihormati, namun tidak seharusnya disalahgunakan khususnya dalam konteks negara yang berpegang teguh kepada nilai budaya timur dan agama.

“Lebih membimbangkan, kandungan lagu seumpama ini boleh diakses dengan mudah oleh kanak-kanak dan remaja melalui pelbagai platform digital tanpa tapisan yang berkesan.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyumbang kepada normalisasi bahasa serta pemikiran berunsur seksual yang boleh menjejaskan pembentukan jati diri dan sahsiah generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Noraziah Mohd Razit

Noraziah yang juga Ketua Wanita Keadilan Cabang Pasir Gudang berharap agar penggiat seni lebih bertanggungjawab dengan menghasilkan karya yang bersifat mendidik dan membina.

Jelas beliau, ia termasuk karya yang memberi inspirasi kepada masyarakat dan bukan sekadar mengejar populariti melalui unsur sensasi murahan.

“Maruah budaya serta masa depan generasi muda tidak wajar dikorbankan demi hiburan dan populariti sementara,” katanya.

Sebelum ini, single Baby Shima tular dalam media sosial gara-gara didakwa mempunyai lirik berunsur lucah sehingga mengundang reaksi kurang senang pendengar.

Malah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut memandang serius penularan lirik lagu berunsur lucah, tidak senonoh serta bercanggah dengan nilai akhlak dan adab masyarakat khususnya yang memberi pengaruh negatif kepada generasi muda.

Menteri berkenaan, Dr Zulkifli Hasan, dilapor berkata, semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.

Zulkifli merujuk kepada lagu baharu seorang artis wanita tempatan yang dikatakan mempunyai lirik berunsur lucah dan tidak bersesuaian sehingga mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast