TANGKAK – Seorang operator kilang wanita rugi RM23,506 selepas terpedaya pelaburan dalam talian yang menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 53 tahun semalam mendakwa ditipu pelaburan tersebut.
“Mangsa terpedaya untuk melabur kerana telah dijanjikan dengan pulangan pelaburan yang lumayan dalam tempoh singkat dan jaminan pulangan wang modal.
“Dia yang berminat kemudian melakukan sembilan transaksi bermula 29 sehingga 31 Disember lalu ke dalam lima akaun bank yang berbeza disyaki ‘mule account,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, boleh disebat dan didenda.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan cara mudah dalam tempoh singkat.
“Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau scam,” tambahnya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) seperti Facebook, Instagram dan Tiktok.
“Sekiranya seseorang telah menjadi mangsa scam, sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















