Logo Petronas.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Notis itu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai pihak responden.

Petronas dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan itu difailkan untuk memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.

“Permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut.

“Keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan sejak tahun 2024 bersama Petros serta Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas,” jelas firma minyak dan gas itu.

Sehubungan itu, Petronas berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini.

Petronas juga menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan.

Katanya, Petronas tetap komited untuk melaksanakan operasinya dengan telus serta penuh tanggungjawab di Sarawak.

“Seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa dan Petronas akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak serta bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak dan memelihara kemakmuran Malaysia.

“Petronal juga kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usahasama syarikat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast