YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Wan Azizah berkunjung ke SK Sg Besi, SJKC Kwong Hon dan SJKT Sg Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan di Kuala Lumpur. 12 Januari 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Aspek pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung pada dasar dan perutukan semata-mata, tetapi juga pada kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.

Katanya, hubungan mantap antara semua pihak itu penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh sama ada di sekolah mahupun di rumah.

“Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau hari pertama sesi persekolahan dan memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato’ Seri Wan Azizah berkunjung ke SK Sg Besi, SJKC Kwong Hon dan SJKT Sg Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan di Kuala Lumpur. 12 Januari 2026. IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.

Menurut Anwar, Bantuan Awal Persekolahan itu merupakan inisiatif penting untuk meringkankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan anak-anak.

Sementara itu, Anwar berkata, dalam lawatan di sekolah-sekolah tersebut, beliau berpeluang bertemu dan menyantuni murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan.

“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.

“Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast