NIBONG TEBAL – Ibu bapa perlu maklum jika bayaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kurang walaupun 10 sen atau RM1 kerana jumlah RM150 mesti diterima sepenuhnya, tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Jelas beliau, ia susulan pihak sekolah telah diingatkan agar menyerahkan sepenuhnya wang BAP berjumlah RM150 kepada pelajar melalui ibu bapa masing-masing.
“Kita juga tidak membenarkan wang tersebut diagihkan melalui cara lain termasuklah bagi bayaran terus kepada yuran atau pembelian barangan tanpa diserahkan terlebih dahulu kepada ibu bapa.
“Ibu bapa juga perlu hadir ke sekolah bagi berjumpa guru dan mengadakan sesi ramah mesra untuk berbincang mengenai perkembangan anak masing-masing semasa menerima wang BAP.
“Kalau ada isu-isu lain atau (untuk bayaran) yuran-yuran lain, maknanya ia perlu diselesaikan dengan cara lain (bukan guna BAP),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Sheh Barakbah di sini hari ini.

Pada majlis itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerima peruntukan BAP berjumlah lebih RM34.1 juta melibatkan lebih 227,000 murid dan pelajar.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, penyerahan BAP dijangka akan diselesaikan sepenuhnya pada minggu ini, manakala kesemua kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara telah menerima wang tersebut untuk diagihkan.
BAP merupakan bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada kira-kira 5.2 juta murid di seluruh negara bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan. – MalaysiaGazette
















