Thow Siang (depan dua kanan) menunjukkan gambar dan aklumat ahli keluarganya yang dihantar ah long Singapura untuk mengugutnya selepas sidang akhbar di pejabatnya di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Masai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua Biro Pengaduan Awam Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Lim Thow Siang mendakwa diugut selepas membantu dua beranak dari Muar yang menjadi mangsa ah long Singapura.

Menurut Thow Siang , 53, ia merupakan kejadian pertama diugut along selepas memberikan khidmat selama 18 tahun membantu mangsa-mangsa yang meminjam wang daripada ceti haram.

Beliau mendakwa, ugutan tersebut diterimanya selepas mengadakan sidang akhbar di Pejabatnya di sini pada Sabtu lalu selepas mendedahkan seorang wanita dan ibunya diancam along Singapura.

“Selepas mengadakan sidang akhbar pada sebelah siang, kira-kira pukul 11 malam seorang pemanggil bernama Celvin Yang dengan nombor telefon dari Singapura menghubungi saya.

“Lelaki terbabit memberi amaran supaya tidak masuk campur kes dua beranak tersebut atau orang lain yang membuat pinjaman dengannya. Dia kemudian menghantar maklumat lengkap isteri, anak dan adik beradik termasuk ibu bapa saya.

“Maklumat itu lengkap dengan gambar, alamat dan nombor telefon malah kad pengenalan setiap seorang,” katanya dalam sidang akhbar di Kawasan Perindustrian Kota Puteri, Masai, di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Setiausaha Bersekutu Bersatu Johor, Yeo Kwee Kwang; Ketua Biro Aduan Bahagian Tebrau, P Poobalan dan Ketua Biro Aduan Bahagian Labis, Wong Chong Wah.

Sabtu lalu, mangsa seorang gadis berusia 26 tahun bersama-sama ibunya, tampil mengadakan sidang akhbar di pejabat Thow Siang mengadu keluarganya diugut ah long Singapura selepas membuat pinjaman.

Dalam sidang akhbar itu, dua beranak tersebut mendakwa, bahagian depan rumah mereka di Muar tiga kali dikhianat dengan api hingga terbakar.

Mereka mendakwa, perbuatan khianat itu berlaku pada 7 dan 9 Disember lalu dan ketiga pada 3 Januari lalu manakala kali keempat dilakukan di rumah jiran mereka pada 4 Januari lalu dengan kerugian turut melibatkan motosikal dan kereta.

Mereka kemudian membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan keluarganya dan jiran mereka serta pada masa sama membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam Sayap Bersekutu Bersatu Johor itu.

Menurut mangsa, semua masalah tersebut berlaku selepas dia mahu membuat pinjaman SGD50,000 pada Disember lalu sebelum terperangkap dan terpedaya dengan taktik along berkenaan.

Bercerita lanjut, Thow Siang mendakwa menerima ugutan kedua kelmarin apabila ah long terbabit sekali lagi memberi ugutan akan mengganggu ahli keluarganya dan memberinya jangan berlagak seperti hero.

Dakwanya, ah long terbabit yang kali ini menggunakan nombor telefon Singapura yang lain mengugut akan mengganggu ahli keluarganya sehingga beliau menyerah kalah dan berhenti campur tangan kes itu.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Seri Alam pukul 10.05 pagi kelmarin kerana bimbang berlaku apa-apa terhadap saya atau ahli keluarga saya. Saya kemudian menyekat dua nombor telefon dari Singapura itu,” ujarnya.

Beliau berkata, ah long Singapura berkenaan menyasarkan orang tempatan yang bekerja di Singapura dan mereka sangat licik untuk memerangkap mangsa menerusi tawaran menarik dalam media sosial.

Jika ada yang terperangkap atau menjadi mangsa katanya, boleh menghubungi talian hotline polis Johor 07-5767260.

Sementara itu, Kwee Kwang berkata, pihaknya harian bagaimana ah long terbabit boleh memperoleh data lengkap ahli keluarga Thow Siang termasuk seorang daripadanya yang sudah meninggal dunia.

Beliau mahu satu siasatan dilakukan bagaimana data-data peribadi berkenaan boleh ‘bocor’ kerana perkara tersebut amat berbahaya kepada negara.

“Saya tidak menuduh mana-mana pihak tetapi biasanya data lengkap seperti ini hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ada dan tidak boleh diakses sebarangan termasuk ahli keluarga,” katanya.

Kwee Kwang mempersoalkan sama ada data peribadi yang disimpan pihak bertanggungjawab tidak lagi selamat sehingga boleh digunakan pihak lain untuk tujuan jenayah atau apa sahaja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast