Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas menolak penyertaan dalam kerajaan Negeri Perlis disifatkan sebagai melampaui batas demokrasi serta mencerminkan politik dendam yang menghukum negeri, Raja dan rakyat, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar.

Menurut beliau, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menolak penyertaan dalam kerajaan negeri atas alasan ‘pengkhianatan’ membuktikannya gagal memikul amanah kuasa dan semakin menyimpang daripada prinsip demokrasi berperlembagaan.

“Apa yang sedang dilakukan Pas di Perlis bukan lagi perbezaan politik tetapi politik dendam terbuka yang bukan sahaja ditujukan kepada Bersatu malah menghukum pentadbiran negeri, membelakangkan titah Raja dan mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz menegaskan, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, kerajaan diwujudkan untuk berfungsi manakala jawatan Exco bukan ganjaran politik tetapi amanah serta tanggungjawab kepada rakyat.

“Apabila Pas secara sengaja menolak untuk mengisi peranan tersebut, Pas sebenarnya melarikan diri daripada amanah bukan mempertahankan prinsip,” dakwanya.

Minggu lalu, Abdul Hadi menegaskan, Pas kekal dengan pendirian tidak menyertai barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis meskipun dipelawa Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah kerana menganggap tindakan ADUN menjatuhkan kerajaan sebagai satu pengkhianatan.

Mengulas perkara itu, Mahfuz berkata, pendirian Pas jelas bercanggah dengan titah Raja Perlis yang mahu wakil rakyat perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan parti.

Menurut Mahfuz, krisis politik di Perlis tercetus akibat tindakan Pas sendiri sehingga parti itu hilang penguasaan dalam kerajaan negeri, namun rakyat pula dijadikan mangsa.

“Pas mendakwa komited kepada kerajaan negeri tetapi dalam masa yang sama bertindak melumpuhkan pentadbiran. Ini kontradiksi politik yang membuktikan Pas tidak mampu membezakan antara hak parti dan tanggungjawab kenegaraan,” katanya.

Beliau menegaskan, Perlis kini menjadi contoh jelas Pas tidak bersedia dan tidak layak mengurus kuasa secara bertanggungjawab, sambil memberi amaran krisis itu adalah isyarat nasional.

“Jika di negeri kecil pun Pas gagal bertindak matang, bagaimana Pas mahu diyakini untuk mengurus negara yang jauh lebih kompleks?

“Malaysia tidak boleh dipimpin oleh politik yang menjadikan kuasa sebagai alat dendam dan kerajaan sebagai sandera emosi parti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast