Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2026.

SHAH ALAM – Keputusan memindahkan ladang babi di Kuala Langat ke Bukit Tagar adalah untuk menamatkan penternakan cara tradisional kepada cara moden.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kaedah berkenaan sekali gus akan menamatkan masalah pencemaran bau dan air.

“Selagi kita tidak tutup kawasan itu selagi itulah pencemaran yang terhasil daripada konsep penternakan tradisional berlanjutan.

“Jadi langkah kita daripada awal sebenarnya nak tutup penternakan tradisional yang ternyata mencetuskan pencemaran bau, air dan sebagainya ke arah penternakan moden yang diusahakan pihak swasta,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui di  Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di sini hari ini..

Jelas Amirudin, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan kepada penternak untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai pemindahan tersebut.

Setakat ini ada sebanyak 69 penternak ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan, Amirudin berkata, terdapat berita yang ditokok tambah mendakwa kerajaan negeri Selangor ingin menjadi pengeksport babi terbesar.

Ujarnya, ia memberi persepsi negatif  meskipun niat awal adah untuk memusatkan ladang penternakan babi supaya menjadi lebih tersusun dan bersih sekaligus menangani isu pencemaran.

“Daripada awal berita yang direka bahawa Selangor nak buka pusat  besar untuk penternakan babi sedangkan realitinya kita nak tutup yang bersepah banyak buat satu, daripada lebih 100 (tempat ladang ternakan) tapi realitinya kita nak dijadikan satu,” katanya.

Semalam, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim dalam sidang media khas mengenai isu berkenaan berkata, pemindahan ladang akan disegerakan pada tahun ini berbanding perancangan terdahulu yang dijangka pada tahun 2030.

Katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak perkenan dengan pembaharuan lesen sementara bagi ladang penternakan babi di daerah Kuala Langat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast