KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki warga emas maut dirempuh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika melintas dekat Jalan Sentul berhampiran Sentul Pasar, di sini pada jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, buat masa ini polis sedang giat mengesan kenderaan yang terlibat.
Menurut beliau, wanita berusia 69 tahun itu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Semasa kejadian, kenderaan tersebut dipercayai sedang bergerak lurus di lorong kedua dari kiri menghala ke pusat bandar.
Mangsa pula disyaki melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan di lokasi yang bukan lintasan pejalan kaki sebelum dilanggar kenderaan tersebut.
“Kita sedang giat mengesan kenderaan terlibat termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan saksi bebas di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















