JASIN – Seorang pemotong sawit dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin hari ini atas pertuduhan memukul anaknya menggunakan topi keledar dipercayai akibat tidak menjawab panggilan telefonnya, Disember lalu.
Tertuduh, K Regunathan, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada anak perempuannya berusia 15 tahun menggunakan sebuah topi keledar yang mana adalah merupakan senjata untuk memukul.
Kesalahan itu dilakukan di ruang tamu rumah beralamat di Taman Ayer Merbau, dalam daerah Jasin kira-kira jam 2 pagi 13 Disember lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A.
Difahamkan, tertuduh bertindak memukul anaknya itu kerana tidak menjawab panggilan telefonnya pada malam kejadian.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri, menawarkan jaminan RM11,000 dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan mangsa iaitu anaknya selain melapor diri di balai polis berhampiran.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pemotong sawit bergaji harian RM40 dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.
Hujahnya, bapa kepada tujuh anak berusia antara 24 dan 16 tahun itu perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah, isteri yang sakit, serta tiga cucu masih kecil selain tertuduh sendiri mengalami retak tulang punggung akibat kemalangan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM4,000 serta tidak mengganggu mangsa dan saksi kes.
Mahkamah menetapkan tarikh 4 Februari ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette
















