KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menggesa kerajaan Selangor menghentikan serta-merta projek ladang penternakan babi berpusat di samping menghormati titah Sultan Selangor dan perasaan rakyat.
Katanya, pentadbiran negeri itu tidak wajar berdegil kerana isu penternakan babi itu bukan lagi perkara kecul atau bersifat teknikal.
Beliau mendakwa isu tersebut telah berkembang menjadi simbol kegagalan kerajaan Selangor dalam memahami batas agama, budaya dan sensitiviti majoriti rakyat di negeri itu.
“Boleh tak kerajaan Selangor lupakan terus projek ‘bela babi’ dengan menyelami isi hati dan titah Tuanku Sultan dan perasaan rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Pada Sabtu lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan pengurusan penternakan babi di Selangor pada masa ini.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam menolak dakwaan terdapat isu dalam penternakan babi di negeri itu dan menyifatkannya sebagai keterlaluan serta tidak tepat dari segi fakta.
Menurut beliau, beberapa laporan media telah memberi gambaran negatif, khususnya dakwaan kononnya kerajaan negeri merancang mewujudkan hab penternakan babi berskala besar.
Amirudin menjelaskan tujuan sebenar cadangan berkenaan adalah untuk mengurangkan ladang-ladang yang bertaburan dengan menyatukan operasi penternakan di satu pusat yang lebih terkawal, selain menafikan dakwaan Selangor berhasrat mengeksport daging babi. – MalaysiaGazette
















