Isu-isu semasa yang melibatkan individu berjawatan tinggi dalam institusi strategik negara sekali lagi mengundang perhatian masyarakat terhadap persoalan integriti dan amanah.
Pendedahan berkaitan siasatan, penahanan serta kelemahan pemantauan dalam organisasi tertentu bukan sekadar mencetuskan perdebatan awam, malah membuka ruang renungan tentang bagaimana kuasa, jawatan dan nilai integriti sering diuji apabila berada di kedudukan tertinggi.
Fenomena ini berkait rapat dengan apa yang dikenali sebagai jenayah kolar putih. Secara umum, jenayah kolar putih merujuk kepada perbuatan salah yang dilakukan oleh individu berstatus tinggi atau mempunyai autoriti dalam organisasi, sama ada melalui salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan atau pengabaian tanggungjawab.
Walaupun tidak melibatkan kekerasan fizikal, kesannya sangat besar kerana ia merosakkan kepercayaan masyarakat, menjejaskan sistem tadbir urus dan melemahkan wibawa institusi.
Apa yang menjadikan jenayah kolar putih lebih berbahaya ialah sifatnya yang sering terlindung di sebalik jawatan dan reputasi. Individu yang terlibat biasanya memiliki akses kepada sistem, pengaruh terhadap keputusan, serta jaringan sokongan yang menyukarkan pengesanan awal.
Dalam banyak keadaan, salah laku ini berlaku secara berperingkat, bermula dengan kelonggaran kecil yang akhirnya menjadi budaya dan diterima sebagai kebiasaan.
Dalam konteks inilah peranan pendidikan integriti menjadi sangat signifikan. Di Institut Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta (IPTA/ IPTS), Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) diperkenalkan bukan sekadar sebagai keperluan kurikulum, tetapi sebagai usaha membina kesedaran awal tentang bahaya jenayah kolar putih dan kepentingan nilai amanah.
Melalui modul ini, pelajar didedahkan bahawa integriti bukan hanya isu undang-undang, tetapi soal etika, intergriti, akauntabiliti, tanggungjawab serta keberanian membuat keputusan yang betul walaupun berdepan tekanan kuasa.
KIAR menekankan bahawa jenayah kolar putih bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia sering berpunca daripada kegagalan sistem kawalan, budaya organisasi yang lemah, serta sikap menormalisasikan salah laku kecil.
Apabila individu dididik sejak awal untuk memahami bagaimana kuasa boleh mempengaruhi pertimbangan moral, mereka lebih bersedia untuk menilai risiko dan menolak amalan tidak berintegriti apabila memegang jawatan kelak.
Selain itu, pendidikan integriti di IPTA dan IPTS perlu disokong dengan pendekatan holistik yang melibatkan penglibatan pensyarah, pentadbir dan pihak industri.
Modul KIAR tidak seharusnya dilihat sebagai subjek teori semata-mata, tetapi perlu diperkaya dengan kajian kes sebenar, simulasi dilema etika, serta latihan membuat keputusan berasaskan prinsip integriti.
Pendekatan ini akan membantu pelajar memahami implikasi praktikal integriti dalam dunia pekerjaan dan kepimpinan. Dalam masa yang sama, kursus ini juga berperanan mendorong pelajar untuk bekerjasama menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dan implikasi rasuah, langkah-langkah pencegahannya, serta simptom-simptom amalan rasuah.
Justeru, usaha ini dapat membentuk kesedaran kolektif dan memperkukuh inisiatif memerangi jenayah rasuah secara menyeluruh yang melibatkan setiap lapisan masyarakat.
Di samping itu, usaha membina budaya integriti tidak boleh terhenti di bilik kuliah. Institusi pendidikan tinggi, badan kerajaan, badan bukan keraajaan dan sebagainya perlu mewujudkan ekosistem yang mengukuhkan amalan integriti dan mencegah salah guna kuasa, melalui dasar yang jelas dan mekanisme pelaporan yang telus.
Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap sistem, tetapi juga menjadikan integriti sebagai norma yang dihargai dan diamalkan.
Kesimpulannya, Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan tentang bahaya dan implikasi rasuah, tetapi juga memiliki keupayaan menilai dilema etika secara kritis serta keberanian untuk mempertahankan prinsip integriti.
Melalui pendekatan pendidikan yang holistik dan berterusan, KIAR berupaya melahirkan individu berintegriti tinggi yang mampu menolak salah guna kuasa dan menjadi agen perubahan dalam organisasi serta masyarakat.
Usaha ini amat signifikan dalam membina ekosistem sosial dan institusi yang telus, berakauntabiliti, serta bebas daripada amalan jenayah kolar putih demi kesejahteraan negara pada masa hadapan.
Oleh : Muhammad Afif Zakwan Azhar , Ismail Ibrahim dan Ahmad Azizi Madzlan, General Studies Department, CCE, Sunway College
















