PUTRAJAYA – Kabinet berpuas hati dengan penjelasan berhubung beberapa isu yang melibatkan Kementerian Pertahanan, mutakhir ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri diberi penjelasan mengenai isu melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada mesyuarat Kabinet pagi tadi.
“Penjelasan Menteri Pertahanan diterima baik oleh Jemaah Menteri.
“Beberapa perkara yang dimaklumkan hari ini akan disusuli dengan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, hari ini.
ATM menjadi perhatian umum susulan dakwaan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai tertingginya, khususnya berkaitan projek perolehan dan tender ketenteraan.
Terbaharu hari ini, seorang lagi pegawai tinggi ATM dilaporkan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut berhubung dakwaan kes sama.
SPRM melalui beberapa operasi khas SPRM, termasuk “Op Sohor”, mendedahkan kegiatan penyeludupan dan aktiviti haram yang melibatkan beberapa pegawai ATM, sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap isu integriti dalam beberapa unit tentera.
Selain isu ini, ATM juga berdepan dengan pendedahan budaya ‘yeye’ di dalam kem yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















