KUALA LUMPUR – Pengguna aplikasi MyNIISe diingatkan supaya melengkapkan proses pendaftaran MyDigital ID selewat-lewatnya 15 Januari ini.
Langkah berkenaan bagi memastikan kelancaran penggunaan aplikasi itu untuk urusan pemeriksaan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengembara yang belum mempunyai MyNIISe selepas tarikh berkenaan masih boleh menggunakan pilihan sedia ada termasuk autogate MyBorderPass, autogate biasa melalui imbasan pasport atau kaunter pemeriksaan fizikal bagi urusan keluar masuk negara.
“Bagi pengguna baharu yang mula menggunakan aplikasi MyNIISe selepas 15 Januari 2026, pendaftaran MyDigital ID adalah merupakan satu keperluan wajib.
“Manakala pengguna sedia ada masih boleh log masuk MyNIISe menggunakan kaedah sedia ada sehingga tempoh percubaan MyNIIse iaitu pada 28 Februari 2026 bagi tujuan pendaftaran dan memperbaharui MyDigital ID mereka.
“Penggunaan MyDigital ID ini akan membolehkan semua pengguna menikmati akses kepada fungsi-fungsi tambahan MyNIISe yang akan diperkenalkan selepas tamat tempoh percubaan pada 28 Februari 2026 dan akan diperluaskan pengunaannya secara berperingkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu,” katanya.
MyDigital ID berfungsi sebagai kunci keselamatan digital untuk log masuk MyNIISe dengan pengesahan identiti dibuat terus melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan sebarang data peribadi pengguna dalam aplikasi.
Menurut KDN, ciri keselamatan itu memastikan hanya pemilik identiti sah dapat mengakses aplikasi sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti digital, selain menyokong pelaksanaan perkhidmatan imigresen digital negara secara selamat dan berperingkat.
“Kerajaan ekal komited untuk melaksanakan pendigitalan perkhidmatan awam secara selamat, berfasa dan berfokuskan rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















