Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Siasatan segera dan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian letupan gas penyaman udara di HELP University bagi memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial, Perdana Menteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan yang meninggal dunia akibat insiden yang berlaku dua hari lalu.

“Saya mendoakan kesembuhan dan kekuatan buat saudari Reeya Kaur Thandal yang masih menjalani rawatan ekoran insiden letupan gas penyaman udara di HELP University.

“Takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas pemergian anak tersayang dalam insiden tersebut, moga diberi ketabahan dan kekuatan, juga semua yang terkesan dengan tragedi ini,” katanya hari ini.

Dalam kejadian pada 12 Januari lalu, seorang penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani Latihan Industri maut manakala sembilan lagi cedera dalam insiden letupan kompresor penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.

Mangsa adalah penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan kini sedang menjalani latihan industri selama tiga bulan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini, seorang pelajar yang cedera parah dalam insiden itu masih tidak sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa utama terus menerima rawatan di hospital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast