JOHOR BAHRU – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM156.3 juta dan menyita pelbagai aset milik sindiket yang bernilai RM5.54 juta dalam operasi di sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, kejayaan itu selepas pihaknya berjaya menumpaskan 42 sindiket pengedaran dadah dan menangkap 138 ahlinya, sekali gus melemahkan rangkaian pengedaran dadah di Johor.
“Secara keseluruhan Jabatan Siasatan Narkotik Johor merekodkan prestasi membanggakan apabila berjaya menahan seramai 26,429 individu atas pelbagai kesalahan dadah, selain merampas sebanyak 3.34 tan dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM176.33 juta.
“Kejayaan ini menempatkan Kontinjen Johor di kedudukan keempat tertinggi rampasan dadah di seluruh negara,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Datuk Ab. Rahaman berkata, bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 melibatkan penagih berulang, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merekodkan 767 tangkapan, sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan kelima keseluruhan.
Sementara itu, tangkapan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985 pula menyaksikan Kontinjen Johor menduduki tempat tertinggi dengan 111 tangkapan.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor turut menunjukkan peningkatan prestasi apabila penyelesaian kes meningkat sebanyak 122 kes daripada 3,519 kes pada 2024 kepada 3,641 kes pada 2025 dengan kadar penyelesaian sebanyak 66.08 peratus.
“Kadar pertuduhan pula meningkat sebanyak 5.69 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan pencapaian keseluruhan mencecah 57.81 peratus,” katanya.- MalaysiaGazette
















