MELAKA – Seorang ibu yang tular video gelang emas dipakai anaknya tercicir sebelum diambil seorang wanita merayu agar barang kemas itu dipulangkan kerana mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
Saiyidatul Humaira’ Abdul Razak, 27, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam Ahad lalu ketika dia bersama suami dan anak perempuannya itu singgah di beberapa lokasi termasuk sebuah kedai serbaneka RM2 di Sungai Petai, Alor Gajah.
Menurut guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu, dia hanya menyedari kehilangan gelang emas anaknya itu, Cempaka Inara Muhammad Yussuff, 3, selepas tiba di rumah ibu mentuanya di Lendu yang bertanyakan mengenai barang kemas terbabit.
“Pada mulanya kami ingat tertinggal di rumah, tetapi selepas diperiksa memang anak ada pakai gelang itu sehinggalah kami pergi semula ke kedai serbaneka RM2 itu kerana merasakan ia tercicir di sana.
“Kami pun cuba meminta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil semakan jelas kelihatan gelang emas 916 dipakai Cempaka tercabut selepas tersangkut di tempat gantung beg berhampiran kaunter.
“Kemudian, kelihatan seorang wanita mengambil gelang itu dan menyimpan ke dalam beg tangan seperti video yang tular itu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Susulan kejadian itu Saiyidatul berkata, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah dan berharap gelang itu dapat dipulangkan kepadanya.
“Kejadian ini sebenarnya berpunca daripada kecuaian saya sendiri sebab itu saya tidak menuduh ia dicuri sebaliknya berharap individu yang terambil dapat memulangkannya semula.
“Ini kerana ia merupakan hadiah daripada nenek kepada cucu yang baru dipakai empat hari lalu jadi nilai sentimentalnya sangat tinggi,” katanya.
Sehubungan itu dia meminta individu yang membantu menyimpan gelang berkenaan supaya dapat memulangkan dengan menghubunginya di talian 011-31790644.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mengesahkan laporan itu namun siasatan tidak dapat membuktikan wanita yang dalam rakaman tular itu sebagai individu yang mencuri gelang emas berkenaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kemungkinan ada individu lain telah mengambil barang kemas tersebut, namun identitinya gagal dikenal pasti.
“Oleh itu, kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) kerana tiada bukti kukuh untuk mensabitkan atau menuduh individu yang dirakam dalam video tular berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















