Bekas pengawal keselamatan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Mohd Zakuan Abdul Rashid, 35, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan berniaga harta curi 17 jongkong emas serta barang kemas milik kenamaan itu berjumlah lebih RM250,000.

MELAKA – Bekas pengawal keselamatan Pegawai Kewangan Negeri Melaka dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan berniaga harta curi 17 jongkong emas serta barang kemas milik kenamaan itu berjumlah lebih RM250,000.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Zakuan Abdul Rashid, 35, iaitu penjara tiga tahun bagi kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu turut dikenakan penjara tujuh tahun bagi kesalahan berniaga harta curi mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan, (KK) yang mana kedua-dua hukuman di perintah berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dalam hujahannya berkata, tertuduh telah mengkhianati amanah sebagai pengawal keselamatan di rumah mangsa sejak 2024.

“Sebagai pengawal keselamatan di rumah pengadu, tertuduh secara langsung mencabuli dan mengkhianati kepercayaan serta amanah yang diberikan, apatah lagi mangsa memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Melaka.

“Ibarat kata pepatah, ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, justeru pohon hukuman berat berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama kelak.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh termasuk faktor bahawa kerugian dialami oleh mangsa lebih RM250,000,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengekalkan pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pada sebutan kes hari ini.

Isnin lalu, Mohd Zakuan mengaku bersalah mencuri dalam kediaman milik Datuk Salhah Salleh, 53, iaitu wang tunai RM20, seutas gelang emas, dua cincin berbentuk berlian, dua utas gelang berlian dan 17 ketul jongkong emas dengan berat keseluruhan dianggarkan 86 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Rumah Kerajaan Pegawai Kewangan negeri, di Bukit Peringgit, di sini, antara Jun 2024 hingga Disember 2025 dan dituduh mengikut Seksyen 380 KK yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku salah berniaga semua barang kemas dan jongkong emas terbabit dengan mengetahui ia harta curi di Kampung Paya Rumput, di sini, antara Jun 2024 hingga Disember 2025.

Kesalahan Seksyen 413 KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika disabitkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast