KOTA TINGGI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memasang sebuah perangkap bagi menangkap harimau yang membaham seekor lembu di Felda Penggeli Timur di sini Sabtu lalu.
Pengurus felda tersebut, Shahizan Ibrahim berkata, pemasangan perangkap dengan menggunakan seekor kambing sebagai umpan bermula pukul 10 pagi tadi.
Jelasnya, proses tersebut melibatkan seramai 10 anggota Perhilitan Johor dengan bantuan penduduk felda berkenaan.
Beliau berharap usaha pihak berkuasa itu akan membuahkan hasil demi menjamin keselamatan penduduk dan pekerja ladang.
“Penduduk amat berharap sangat agar harimau ini dapat ditangkap kerana khuatir binatang buas itu masuk ke kawasan perumahan peneroka yang terletak hanya kira-kira satu kilometer dari lokasi serangan ke atas lembu tempohari,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, penduduk felda berkenaan, Fauzi Mokhtar berkata, mereka percaya harimau itu masih berada dan berkeliaran di sekitar kawasan felda berkenaan.
“Saya dimaklumkan ada penduduk terdengar ngauman harimau berkenaan di Bandar Tenggara kira-kira pukul 7.30 malam kelmarin.
“Justeru, kami berharap sangatlah langkah Perhilitan Johor memasang perangkap ini akan membuahkan hasil agar kami dapat meneruskan kembali rutin harian seperti biasa dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, beberapa langkah telah diambil Perhilitan Johor sebaik menerima aduan daripada penduduk.
“Anggota Perhilitan Johor telah melakukan tindakan awal seperti melakukan pemantauan mengguna dron selain memasang perangkap kamera di kawasan berkenaan.
“Selain itu, mereka telah memasang perangkap bagi menangkap dan memindahkan harimau tersebut ke lokasi yang lebih selamat dan selesa,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu media melaporkan kira-kira 2,000 penduduk felda berkenaan hidup dalam kebimbangan susulan penemuan bangkai seekor lembu dipercayai dibaham harimau.
Kejadian menyebabkan pekerja ladang kelapa sawit di felda berkenaan khuatir untuk keluar bekerja selain rutin harian penduduk yang hanya terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian terjejas. – MalaysiaGazette
















