KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau menunggu surat rasmi perletakan jawatan Datuk Dr Akmal Salleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Menurut beliau, ini ekoran pengumuman Dr Akmal untuk meletakkan jawatan Exco bersama portfolio yang disandangnya berkuat kuasa Isnin ini.
“Saya sebagai Ketua Negeri akan menunggu surat secara rasmi untuk saya pertimbangkan sama ada saya menerima atau pun tidak menerima dan perkara itu tertakluk kepada perbincangan saya nanti,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Dalam pada itu Ab Rauf berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Dr Akmal , mengambil kira peranan dan pendekatan yang dibawa beliau sebagai Ketua Pemuda.
“Saya menghormati keputusan Dr Akmal Salleh kerana beliau berkarya dengan cara Pemuda,” ujarnya.
Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau semasa berucap pada Persidangan Pemuda UMNO memutuskan meletakkan jawatan Exco, namum mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Beliau berkata, keputusannya itu demi prinsip menentang DAP yang merupakan parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan yang turut disertai Barisan Nasional.
ARTIKEL BERKAITAN
Mengulas lanjut, Rauf berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti dan menilai dari sudut kaedah terbaik bagi menguruskan isu berkenaan dalam masa terdekat.
“Saya akan melihat dan menilai bagaimana kaedah yang sesuai untuk menguruskan isu ini dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.
Semalam, media melaporkan Dr Akmal meluahkan hasrat dan isi hati ketika bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta berterima kasih kerana Timbalan Perdana Menteri itu sudi mendengar luahan hatinya.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan inti pati perbincangan tersebut sebaliknya sekadar berharap keputusannya yang terbaik untuk perjuangan agama, bangsa, tanah air dan UMNO.
Dr Akmal berkata, beliau akan akur dengan keputusan dibuat Ahmad Zahid dan Ab Rauf Yusoh berhubung kedudukan jawatan disandangnya ketika ini.
Ini kerana, kedua-dua pihak terbabit sebelum ini memilih beliau bertanding di DUN dan dilantik sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka. – MalaysiaGazette
















