Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hadir ke Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.

Bagaimanapun, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan, beliau akan tetap mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP habis-habisan.

Menurutnya, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO itu bagi membuktikan beliau tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Berbanding jawatan sebagai Exco dalam Kerajaan Negeri Melaka, ujarnya, jawatan itu disifatkan tidak sepenting seperti mana mempertahankan maruah, prinsip dan suara akar umbi selaku Ketua Pemuda UMNO.

“Saya nak beritahu kepada yang tanya saya `lu siapa’ sebelum ini, saya nak jawab…`gua’ ada maruah, `lu’ ada maruah atau tidak.

“Saya nak beri amaran kepada pihak yang selalu cakap tentang saya, yang selalu menekan Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka, apabila saya tidak berada dalam Exco…saya akan lawan kamu habis-habisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Sebelum ini, DAP Melaka membidas gesaan Dr Muhamad Akmal supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan Dr Muhamad Akmal itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti, namun DAP melihat gesaan tersebut tidak berasas dan melangkaui bidang kuasanya.

Selain itu, Pemuda Sosial DAP (DAPSY) turut mendesak Dr. Muhamad Akmal melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selepas Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Pendirian Ahmad Zahid itu bertentangan dengan gesaan Pemuda UMNO termasuk yang dicapai menerusi konvensyen khas supaya UMNO mempertimbangkan semula kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, keputusan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO juga dibuat atas kepentingan parti dan atas dasar prinsip serta maruah bukan perkara yang boleh dirunding, apatah lagi untuk dijadikan bahan jenaka.

Tegasnya, beliau sendiri tidak pernah gentar dengan cemuhan, kritikan dan herdikan, apatah lagi tekanan oleh pihak lawan politik kerana menyedari jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dipegang adalah tanggungjawab besar dan maruah seluruh ahli Pemuda UMNO.

“Ini bukan soal jawatan dan wang ringgit…tetapi disebabkan tanggungjawab, prinsip dan maruah saya, maka saya berani letak jawatan Exco untuk lawan DAP habis-habisan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast