KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berharap parti itu dapat membuka hati untuk menerima kembali ahli yang dipecat dalam usaha memperkukuhkan semula UMNO.
Bekas Ketua Pemuda itu berkata, beliau bersetuju dengan pandangan yang disuarakan oleh Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Jelas beliau, ucapan Ketua Pemuda UMNO itu mewakili suara akar umbi yang tidak boleh dinafikan hak mereka dan penting untuk disuarakan apa yang memberi kebaikan untuk parti.
“Ucapan yang saya dengar cukup baik, memang terbaik dan ia meletakkan akar Pemuda UMNO itu dan saya tidak nafikan suara akar umbi itu penting. Jadi apa yang beliau cakap betul apabila kita menyuara, kita mempertahankan hak kita dalam Perlembagaan.
“Orang yang pertikaikan itu perkauman, beliau betul. Jadi saya amat setuju dan paling suka sekali adalah untuk membuka hati kita terima balik ahli-ahli UMNO yang dibuang dan dipecat, datang balik. Saya memang setuju ucapan paling baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dan mengikuti ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena PA 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dan mengikuti ucapan dasar perhimpunan sayap Pemuda UMNO sempena PA 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu hadapan.
Bagaimanapun, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan, beliau akan tetap mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu menentang DAP habis-habisan.
Dr Muhammad Akmal tuurt memohon kepada Presiden UMNO agar parti itu buka pintu kepada mereka yang masih sayang kepada parti walaupun mereka sedang digantung atau telah dibuang.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menambah, mereka yang berada di dalam kerajaan tidak seharusnya rasa tergugat dengan apa yang disuarakan Ketua Pemuda UMNO itu.
“Kita kena mempertahankan hak kita, kalau macam berlaku hari ini ada suara sumbang, itu mereka yang mulakan.
“Jadi kalau kita menyuarakan perasaan kita, mereka tida harus takut dan tergugat, Kerajaan sepatutnya okey,” katanya.
Pada 2021, Mohamed Nazri mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang dimenangi selama enam penggal berturut-turut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sekali gus mengakhiri kerjayanya dalam politik.
Beliau mengetuai pelbagai kementerian sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.
Mohamed Nazri memulakan perjalanan politiknya pada 1978 sewaktu berusia 24 tahun apabila dilantik sebagai EXCO Pemuda UMNO dan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO pada 1993.
Beliau adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selama 28 tahun dari 1990 hingga 2018 dan pernah dilantik Ahli Dewan Negara pada 1991 hingga 1995.
Mohamed Nazri berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan daripada 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018). – MalaysiaGazette

















