KUALA LUMPUR – Ketegasan UMNO sebagai kuasa pengimbang yang bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan adalah selari dengan tuntutan kestabilan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, UMNO sentiasa menggunakan pendekatan politik secara matang, berstrategi dan berprinsip, bukannya berasaskan emosi.
“Ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencerminkan satu pendekatan jujur, realistik dan berteraskan kepentingan rakyat.
“Ia boleh dilihat dalam mendepani cabaran politik semasa dan perubahan landskap sokongan pengundi.
“Tuntutan generasi baharu semakin kritikal terhadap isu kos sara hidup, peluang ekonomi dan jaminan masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Zaidy juga menyokong ketegasan UMNO dalam isu hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu.
“Tiga teras tersebut merupakan garis merah UMNO dan tidak boleh dikompromikan dalam apa jua bentuk kerjasama politik,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, UMNO melakukan pembaharuan strategik melalui pendekatan kreatif dan pendigitalan parti sambil menyifatkannya sebagai langkah tepat dan relevan.
“Keperluan untuk memahami serta mendekati pengundi muda, generasi z dan alpha menuntut UMNO tampil lebih segar, inklusif dan berfokus kepada penyelesaian sebenar terhadap isu kehidupan seharian rakyat,” katanya.
Zaidy turut menyambut baik mandat jelas yang diberikan kepada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai jentera akar umbi, pendesak rakyat dan penggerak naratif digital.
“Sinergi ketiga-tiga sayap ini amat penting bagi memastikan UMNO kembali diyakini sebagai parti yang mendengar, memahami dan membela rakyat.
“Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk menterjemahkan semangat, prinsip dan hala tuju yang digariskan dalam ucapan ini ke peringkat kawasan.
“Ia bagi memastikan UMNO terus kekal relevan, berwibawa dan bersedia menghadapi PRU16 dengan kekuatan serta keyakinan baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















