Penguat Kuasa JAINJ menahan duda dan janda berkhalwat di sebuah hotel di bandar Muar, hari ini.

MUAR – Seorang duda sanggup memandu sejauh 200 kilometer dari negeri lain untuk bertemu janda di sebuah hotel di daerah ini sebelum dicekup berkhalwat pagi tadi.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), penguat kuasa melakukan operasi cegah maksiat pukul 1.45 pagi dan berjaya menahan pasangan tersebut yang kedua-duanya berusia 30-an.

Menurut JAINJ, sebaik tiba di bilik hotel didiami pasangan itu, penguat kuasa mengetuk pintu dan lapan minit kemudian, seorang lelaki berseluar panjang dan baju T membukanya.

“Lelaki itu sempat bertanyakan siapa dan penguat kuasa kemudiannya memperkenalkan diri untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika memasuki bilik hotel, penguat kuasa menemukan seorang wanita yang sedang duduk di bucu katil yang memakai seluar panjang dan baju T.

“Kedua-dua pasangan ini kelihatan gelisah sebaik penguat kuasa bertanyakan mengenai hubungan mereka. Pasangan ini akhirnya mengaku yang mereka bukan suami isteri dan hanya berdua-duaan di bilik itu,” jelas kenyataan tersebut.

JAINJ memaklumkan, soal siasat mendapati suspek lelaki itu duda dan memberitahu datang dari negeri lain dengan memandu kereta ke bandar ini untuk berjumpa pasangannya itu yang juga janda selepas membuat janji temu.

“Lelaki itu beri alasan bercuti ke Muar kerana tertarik dengan makanannya. Wanita terbabit pula bekerja dan menetap di daerah ini dengan hotel itu ditempah atas nama lelaki terbabit.

“Apabila ditanya tujuan datang ke hotel itu, wanita memberitahu dia hanya mahu menumpang tandas sambil berbual.”

Tambah JAINJ, penguat kuasanya sudah banyak kali mendengar alasan seperti itu yang akhirnya membongkarkan tujuan sebenar mereka.

“Ratusan kilometer pun sanggup diredah lelaki itu demi untuk melepaskan nafsu selepas mereka berkenalan sejak tahun lalu.

“Malah, mereka juga memberitahu bercadang untuk menamatkan status duda dan janda. Ketika pemeriksaan dijalankan, keadaan katil berselerak.”

Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis dan ke pejabat penguat kuasa JAINJ Muar, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast