Muhammad Harith Lokman

JOHOR BAHRU – Kenyataan wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang disifatkan mempunyai unsur perkauman dalam satu wacana terbuka pada Isnin lalu dilihat menyentuh isu sensitif 3R iaitu raja (royalty) agama (religion) dan kaum (race).

Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Harith Lokman berkata, dakwaan jelek yang disampaikan dalam temu bual berkenaan jelas bersifat jahat dan tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan dalam temu bual tersebut didapati menyamakan kaum Melayu di Malaysia dengan rejim Zionis serta melabel masyarakat Melayu Muslim sebagai bersikap xenofobik dan anti-imigran.

“Armada Johor menegaskan kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab, mengelirukan serta berpotensi menyemai kebencian antara kaum, sekali gus menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Armada Johor berpendirian kebebasan media tidak boleh disalahgunakan sehingga mencetuskan sentimen perkauman, mencabar sensitiviti rakyat contohnya serta mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

Tegasnya, lebih-lebih lagi apabila kandungan tersebut disiarkan secara terbuka dan boleh diakses oleh masyarakat antarabangsa yang berisiko memberi implikasi negatif terhadap perpaduan nasional dan keyakinan pelabur asing.

Sehubungan itu katanya, Armada Johor melalui beberapa bahagian telah membuat beberapa laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau yang juga Ketua Armada Bahagian Muar berkata, Armada Johor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil tanpa sebarang campur tangan.

Terdahulu wartawan terbabit disifatkan banyak pihak mengajukan soalan  tidak berasas itu berbuat demikian dalam satu wacana yang bertajuk ‘Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ yang turut menampilkan ahli politik UK, George Galloway.

Menjawab soalan kontroversi tersebut, Galloway mematahkan soalan itu dengan hujah bahawa keadaan di Malaysia sama sekali tidak menyamai realiti dihadapi oleh rakyat Palestin di bawah pendudukan Israel.

Sambil menyifatkan persamaan sedemikian sebagai tidak tepat dan keterlaluan.

Dakwaan wartawan itu mendapat kecaman hebat netizen dan ada antara mereka mendesak supaya status kewarganegaraan ditarik serta tidak melayan permohonan maaf yang dibuat.

Bagaimanapun wartawan itu telah memohon maaf dan menyesali kenyataan yang dibuat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast