KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memberi sokongan kepakaran komunikasi kepada pasukan petugas Op Naga yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, SPRM melalui Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) telah dijemput bagi memperkukuhkan strategi serta pelaksanaan komunikasi dalam Op Naga.
“Penglibatan BKS dalam operasi ini amat dihargai. Melalui pengalaman dan kepakaran kami, BKS akan menyokong usaha meningkatkan hebahan mengenai kejayaan operasi selain memperkukuh tahap integriti masyarakat khususnya komuniti nelayan dalam mempertahan kedaulatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hisham, usaha yang dilaksanakan APMM itu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pengurusan tadbir urus yang baik, khususnya dalam kawalan keselamatan perairan negara.
Katanya, operasi keselamatan maritim ini bertujuan membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilapor dan tidak dikawal (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing), khususnya oleh Vessel Nelayan Asing (VNA) yang menceroboh perairan negara.
Op Naga diketuai APMM turut disertai kerjasama pelbagai agensi keselamatan utama termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Jabatan Perikanan.
Agensi sokongan yang juga terlibat seperti Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Pelabuhan & Dermaga Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, serta Bahagian Penguatkuasa KPDN.
Op Naga yang bermula sejak 2019 telah dijalankan secara berterusan sebagai tanda komitmen menangani isu pencerobohan nelayan asing.
Terdahulu, isu pencerobohan oleh nelayan asing, khususnya dari Vietnam, pernah dibongkar SPRM melalui Op Armada bersama APMM pada 2017.
Hasil operasi tersebut membawa kepada pemenjaraan selama tiga tahun dan denda RM1.75 juta terhadap seorang warga Vietnam pada 2019. – MalaysiaGazette
















