KUALA LUMPUR – UMNO merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar ihsan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi beroleh apa sahaja pertimbangan dan keringanan untuk membolehkan beliau dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan parti itu kepada bekas perdana menteri berkenaan tidak pernah berubah, malah usaha pembelaan terhadap Najib juga tidak pernah goyah.
Menurutnya, keteguhan itu di sebalik dakwaan kononnya beliau mengetepikan semangat setiakawan terhadap Najib, serta keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan hanya untuk menyelamatkan dirinya.
Malah, tambah beliau, rasa simpati, pembelaan dan solidariti UMNO terhadap Najib juga menjadi bahan momokan dan dipersendakan.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah.
“Malah, beliau telah menghubungi saya untuk menitipkan salam dengan lafaz Assalamualaikum kepada sidang perwakilan semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kepimpinan tertinggi UMNO tidak pekak terhadap suara akar umbi khususnya berhubung desakan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, segala keluh-kesah, keresahan dan desakan termasuk cadangan untuk keluar daripada kerajaan didengari, dinilai dan diperhalusi oleh peringkat kepimpinan tertinggi.
Tambah beliau, keputusan yang dipilih untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal bukan keputusan yang mudah, sebaliknya keputusan yang berpaksikan pertimbangan negara dan maslahah ummah.
Namun, tegas Ahmad Zahid, kesabaran UMNO ada batasnya dan parti itu bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan.
“Jangan ingat UMNO parti kari pullay, parti daun kari…bila nak masak dicampak dalam kuali, bila dihidang, dikuis ke tepi. Barang harus diingat, UMNO adalah tiang seri kestabilan negara,” katanya. –
















