Sebahagian NGO-NGO Islam memegang plakad semasa sidang media mengenai Program Perkelahan LGBT di Hulu Langat bersama Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Islam di Pejabat MAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor. Foto Muhaimin Marwan, 16 Januari 2026

SHAH ALAM- Sekteriat Gabungan NGO Melayu Islam mencadangkan pasukan petugas khas (task force) dengan kerjasama agensi kerajaan diwujudkan bagi membanteras gejala negatif lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Presiden PERKID, Masridzi Sat berkata, ini kerana masalah sosial dalam kalangan golongan muda di negara ini semakin parah dan berleluasa hingga boleh merosakkan generasi baharu.

“Apabila ada task force bersepadu ini kita dapat mewujudkan banyak perkara dalam kerja kita (NGO), insya-Allah.

“Objektif task force ini memperkukuhkan penguatkuasaan secara bersepadu, bukan hanya operasi tetapi pendekatan pencegahan dan pemulihan, selain mengoptimumkan kepakaran NGO, terutama dalam aspek kaunseling, dakwah lapangan, bimbingan rohani, pemulihan akhlak dan sokongna komuniti.,” katanya.

Presiden PERKID, Masridzi Sat, menyerahkan memorandum Program Perkelahan LGBT di Hulu Langat bersama Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Islam di Pejabat MAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum dan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Mohd Sabirn Mohd Sarbini di sini hari ini.

Memorandum itu bagi menyatakan sokongan padu terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah yang menzahirkan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang LGBT di negeri itu.

 

Presiden PERKID, Masridzi Sat, bercakap pada sidang media mengenai Program Perkelahan LGBT di Hulu Langat bersama Sekretariat Gabungan NGO-NGO Melayu Islam di Pejabat MAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 Januari 2026

Ditanya sama ada pihak NGO memberi cadangan bagi memperkukuhkan lagi undang-undang sivil membabitkan salah laku LGBT di negara ini, Masridzi berkata, perundangan ketika ini sukar dilawan kerana dari segi kekuatan undang-undang sivil kini mengatasi undang-undang syariah sedia ada. 

“Bagaimanapun kita difahamkan dalam perbincangan tadi, usaha itu sedang dinaiktaraf atau dikemas kini bagi meningkatkan lagi kuasa MAIS dan majlis agama islam negeri serta Hakim Syariah.

“Kita juga perlu adakan kolaborasi, jika ada benda yang tidak boleh diselesaikan atas sebab tidak cukup bukti atau lain, mungkin boleh bincang untuk masukkan di bawah pemulihan NGO dengan syarat pujuk ibu bapa bawa anaknya jalani rawatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama strategik itu  dapat melahirkan pendekatan yang lebih holisik, berhemah dan berkesan, selaras dengan tuntutan maqasid syariah serta keperluan semasa masyarakat.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast