BUTTERWORTH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih di sini kepada Dragon Temple Lane.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, pihaknya menolak cadangan berkenaan kerana nama Jalan Pantai Bersih sudah lama digunakan dan mempunyai nilai sejarah serta identiti tersendiri dalam kalangan penduduk setempat.
“Penukaran nama jalan yang telah wujud sejak sekian lama tanpa keperluan mendesak hanya akan menimbulkan kekeliruan serta ketidakselesaan kepada orang ramai.
“Nama Jalan Pantai Bersih telah sebati dengan masyarakat dan mencerminkan sejarah serta memori kolektif penduduk yang mendiami kawasan ini sejak sekian lama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, AMK Pulau Pinang berpandangan cadangan berkenaan tidak bersifat inklusif, selain disifatkan tidak munasabah dan tidak mencerminkan keutamaan sebenar rakyat.
“Ketika rakyat berdepan isu kos sara hidup, perumahan dan kebajikan, cadangan bersifat simbolik seperti ini tidak memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.
Muhammad Zakwan yakin Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan mengambil kira pandangan serta sentimen penduduk setempat sebelum sebarang keputusan dibuat, demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum serta menghormati identiti tempatan.
“AMK Pulau Pinang akan terus konsisten mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak sebarang tindakan yang tidak membawa manfaat sebenar kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, tular laporan akhbar berbahasa Cina mengenai gesaan Guan Eng supaya Jalan Pantai Bersih dinamakan semula kepada Dragon Temple Lane, dipercayai bagi memenuhi permintaan jawatankuasa pengurusan sebuah tokong di kawasan berkenaan.
Laporan itu turut menyebut cadangan berkenaan dianggap sebagai ‘ang pau’ Tahun Baharu Cina kepada penduduk Butterworth.
Memetik laporan sama, Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan memaklumkan cadangan itu akan dipertimbangkan dan telah mengarahkan Exco Infrastruktur, Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari untuk mengendalikan perkara berkenaan, namun proses itu masih belum dimuktamadkan. – MalaysiaGazette
















