NIBONG TEBAL – Seorang lelaki tempatan maut ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah premis cuci kenderaan di Jalan Besar Permatang Keling di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, mangsa berusia 38 tahun yang dipecayai pemilik premis berkenaan dikatakan sedang berada di hadapan premis itu sebelum didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal.
Difahamkan, suspek melepaskan lebih enam das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Taiping dan disahkan meninggal dunia di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian.
“Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bedah siasatan ke atas mangsa dijadualkan hari ini di Hospital Taiping. – MalaysiaGazette
















