KUALA LUMPUR – Pemuda Pas memandang serius insiden melibatkan wartawan Free Malaysia Today (FMT) dengan menyifatkan isu itu tidak boleh ditutup hanya dengan permohonan maaf kerana berpotensi mengancam keharmonian dan keselamatan awam.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, tindakan wartawan itu yang mengemukakan soalan dengan naratif mengaitkan layanan masyarakat Cina di Malaysia seolah-olah setaraf “apartheid” terhadap rakyat Palestin merupakan satu bentuk pembingkaian yang boleh mencetuskan persepsi jahat, memanaskan emosi antara kaum dan menggugat perpaduan negara.
Katanya, permohonan maaf rasmi yang dibuat oleh Rex Tan dari sudut kepentingan awam serta kesan soalan itu telah pun tersebar luas di media sosial dan berpotensi menular sebagai fahaman songsang dalam kalangan masyarakat.
“Lebih membimbangkan, soalan itu tidak bersifat neutral kerana seolah-olah ‘mengisytiharkan’ dakwaan berasaskan buku, fakta dan sumber tertentu yang tidak pernah disahkan serta tidak diketahui oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan besar mengenai sumber sebenar naratif berkenaan pihak yang membekalkan bahan serta motif di sebalik penyebarannya.
Tambahnya, Malaysia bukan medan uji kaji propaganda perkauman dan tindakan mengaitkan realiti negara dengan tragedi penindasan di Palestin melalui momokan “apartheid” disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, khususnya apabila dimainkan dalam ruang media yang pantas mencetuskan reaksi massa.
Pemuda Pas menegaskan, agar siasatan dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sumber rujukan yang mendakwa wujudnya “apartheid” di Malaysia, rangkaian penyebaran naratif perpecahan kaum, tujuan sebenar soalan tersebut dibina serta potensi elemen hasutan, kebencian dan ancaman kepada ketenteraman awam.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak terperangkap dengan permainan persepsi yang boleh memecah-belahkan perpaduan, sambil mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan.
“Pemuda Pas Malaysia akan terus mempertahankan keharmonian negara, menolak politik kebencian dan menutup ruang mana-mana pihak yang cuba menjadikan isu kaum sebagai senjata untuk merosakkan keamanan serta kestabilan negara,” katanya.
“Perpaduan negara bukan bahan eksperimen. Api perkauman mesti dipadam sebelum sempat marak,” tambah beliau. – MalaysiaGazette
















