KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan seruan kepada seluruh umat Islam untuk terus memperingati dan menghayati peristiwa Israk Mikraj Rasulullah S.A.W.
Baginda berkenan memetik ingatan khatib dalam Khutbah Jumaat bertajuk “Perjalanan Agung Membugar Iman ” yang mengimbas kembali apa yang berlaku semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
Dalam perjalanan tersebut, Rasulullah S.A.W. diperlihatkan dengan pelbagai gambaran azab sebagai amaran terhadap kepincangan dalam menunaikan hak kepada Allah SWT dan sesama manusia.
Ada golongan yang kepala mereka dipecahkan berulang kali kerana memandang remeh kewajipan solat manakala ada yang dipaksa memakan pokok berduri lagi pahit kerana enggan menunaikan zakat.
Malah, ada yang memilih daging busuk berbanding makanan yang baik kerana terjebak dalam perbuatan zina dan ada yang lemas dalam sungai darah akibat menghalalkan riba.
Semua gambaran ini bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi sebagai peringatan tegas agar kita semua segera menghidupkan kembali ketaatan kepada Allah SWT dan menunaikan hak-hak sesama manusia sebelum kita sendiri diazab akibat kelalaian tersebut, menurut perkongsian baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Press,
Keseluruhan peristiwa ini juga mengajar kita tentang konsep ta‘abbud, iaitu ketundukan dan kepatuhan mutlak seorang hamba kepada perintah Allah SWT walaupun tidak mampu dicapai oleh logik akal semata-mata.
Baginda bertitah, sambutlah Israk Mikraj dengan satu keyakinan bahawa langit yang terbuka untuk Nabi S.A.W. pada malam Israk Mikraj tidak akan pernah tertutup untuk umatnya.
“Setiap jiwa yang kembali kepada Allah S.W.T. dengan doa, taubat dan solat akan sentiasa berada di bawah naungan rahmatNya,” titah baginda. – MalaysiaGazette















