WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk mengenakan tarif terhadap negara-negara yang tidak menyokong hasratnya untuk mengambil alih Greenland.
Trump dalam satu mesyuarat di White House berkata, beliau “mungkin akan mengenakan tarif ke atas negara-negara sekiranya mereka tidak menyokong isu Greenland”, yang merupakan sebuah wilayah tadbir sendiri di bawah kawalan Denmark.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan negara mana yang akan terjejas oleh tarif baharu itu, atau kuasa undang-undang apa yang akan digunakannya untuk mengenakan cukai import tersebut bagi mencapai matlamatnya.
Selain Denmark dan Greenland, beberapa negara lain turut menentang rancangan itu, dan ramai pihak di Amerika Syarikat sendiri menyatakan keraguan terhadap usaha pengambilalihan tersebut.
Ketika Trump mengeluarkan kenyataan itu, satu delegasi dwipartisan Kongres AS sedang melawat Greenland bagi menunjukkan sokongan terhadap wilayah berkenaan.
Delegasi yang terdiri daripada 11 ahli itu termasuk wakil Parti Republikan yang menyuarakan kebimbangan terhadap gesaan presiden agar AS memperoleh Greenland atas alasan keselamatan negara. Mereka bertemu ahli parlimen Greenland serta Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dan rakan sejawatnya dari Greenland, Jens-Frederik Nielsen.
Ketua delegasi, Senator Chris Coons dari Parti Demokrat berkata, lawatan tersebut bertujuan mendengar pandangan penduduk tempatan dan membawanya kembali ke Washington “untuk meredakan ketegangan”.
Trump sebelum ini menyatakan Greenland penting bagi keselamatan Amerika Syarikat, dan Washington akan mendapatkannya sama ada “dengan cara mudah” atau “cara sukar” — satu kenyataan yang dilihat merujuk kepada pembelian pulau itu atau pengambilalihan secara paksa.
“Saya mungkin akan mengenakan tarif ke atas negara-negara sekiranya mereka tidak menyokong isu Greenland kerana kita memerlukan Greenland untuk keselamatan negara,” kata Trump dalam mesyuarat White House pada Jumaat berkaitan penjagaan kesihatan luar bandar.
Greenland mempunyai kepadatan penduduk yang rendah dan kaya dengan sumber asli, dan kedudukannya di antara Amerika Utara dan Artik menjadikannya strategik bagi sistem amaran awal serangan peluru berpandu serta pemantauan kapal di rantau tersebut.
Amerika Syarikat ketika ini mempunyai lebih 100 anggota tentera yang ditempatkan secara tetap di Pangkalan Pituffik, sebuah stesen pemantauan peluru berpandu di hujung barat laut Greenland yang dikendalikan AS sejak Perang Dunia Kedua.
Di bawah perjanjian sedia ada dengan Denmark, Amerika Syarikat mempunyai kuasa untuk membawa masuk seberapa ramai anggota tentera yang dikehendaki ke Greenland.
Namun Trump berkata AS perlu “memiliki” Greenland untuk mempertahankannya dengan lebih berkesan daripada kemungkinan ancaman Rusia atau China.
Denmark memberi amaran bahawa tindakan ketenteraan akan menandakan berakhirnya NATO, pakatan pertahanan trans-Atlantik yang menyaksikan AS sebagai rakan paling berpengaruh.
NATO beroperasi berdasarkan prinsip negara anggota perlu membantu antara satu sama lain sekiranya diserang dari luar, dan pakatan itu tidak pernah berdepan situasi di mana satu anggota menggunakan kekerasan terhadap anggota lain.
Sekutu Eropah telah menyatakan sokongan terhadap Denmark.
Mereka juga menegaskan rantau Artik sama pentingnya kepada mereka dan keselamatannya harus menjadi tanggungjawab bersama NATO, dengan penglibatan Amerika Syarikat.
Sehubungan itu, beberapa negara termasuk Perancis, Jerman, Sweden, Norway, Finland, Belanda dan United Kingdom telah menghantar sejumlah kecil anggota tentera ke Greenland dalam misi yang digelar sebagai misi peninjauan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, aset darat, udara dan laut akan dihantar tidak lama lagi.
Kebanyakan penduduk Greenland menentang usaha Trump untuk membeli pulau mereka atau merampasnya secara paksa.
Lawatan delegasi Kongres AS itu dibuat beberapa hari selepas perbincangan peringkat tinggi di Washington gagal mengubah pendirian Trump berhubung rancangannya. – Agensi
















