KUALA LUMPUR – Akta Kredit Pengguna 2025 yang telah diluluskan tahun lalu perlu dikuatkuasakan dengan tegas, kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Menurutnya, ia penting bagi melindungi pengguna daripada risiko hutang berlebihan dan muflis, mengawal amalan kredit yang terlalu longgar serta memperkukuh literasi kewangan rakyat dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Hakikatnya, tambah beliau, kemiskinan dalam negara masih berterusan termasuk kemiskinan pelbagai dimensi, dengan kebergantungan yang tinggi kepada bantuan tunai.
Pada masa sama, ujarnya, kos sara hidup kekal menjadi isu utama rakyat, khususnya golongan B40 dan M40, manakala trend peningkatan hutang kad kredit dan skim BNPL (beli sekarang bayar kemudian) disifatkan semakin membimbangkan.
Katanya, walaupun inflasi keseluruhan dilaporkan terkawal, tekanan kos masih dirasai dalam perbelanjaan asas seperti perumahan, pendidikan dan perkhidmatan.
“Perkembangan ini menuntut perhatian serius daripada kerajaan, bank negara serta institusi perbankan agar daya tahan kewangan isi rumah tidak terus terhakis, khususnya dalam kalangan generasi muda bawah 30-an dan 40-an,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, tambah beliau, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan setiap dasar dan perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Belanjawan 2026 diterjemahkan secara berkesan dalam bentuk program, projek dan bantuan yang benar-benar sampai kepada rakyat.
“Dalam kita melihat angka-angka makroekonomi yang kelihatan terkawal, jangan sampai kita mengabaikan angka-angka mikroekonomi yang mencerminkan realiti sebenar rakyat terbawah, yang masih berdepan kadar upah yang rendah, kenaikan gaji yang perlahan, simpanan yang terhad dan beban hutang yang meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette
















