KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menuntut pampasan RM10 juta terhadap Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz susulan dakwaan fitnah berhubung isu program Jana Wibawa pada tahun lalu.
Wan Saiful mendakwa, kenyataan itu dibuat oleh Tun Faisal menerusi satu kenyataan pada 31 Oktober 2025 melalui saluran YouTube yang dikenali sebagai “THE TIGER SHOW PODCAST”.
Sehubungan itu katanya, peguam beliau, Tetuan Bahar Rusnan & Associates telah menghantar Surat Tuntutan bertarikh 3 Disember 2025 kepada Tun Faisal.
Surat tuntutan menuntut Ketua Penerangan Bersatu itu menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dipertikaikan dan yang bersifat fitnah, menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dan dalam bentuk video, mengikut terma-terma yang akan ditentukan oleh Wan Saiful.
Selain itu, Tun Faisal dituntut memberikan satu jaminan dan aku janji bertulis bahawa sama ada beliau sendiri, ejen, wakil atau mana-mana pihak lain yang bertindak bagi pihak beliau tidak akan mengulangi kandungan kenyataan yang dipertikaikan dan yang bersifat fitnah tersebut, menanggung rugi dan memberi indemniti kepada Wan Saiful berhubung dengan segala kos dan perbelanjaan yang telah dan akan ditanggung olehnya berkaitan dengan perkara ini.
Ketua Penerangan Bersatu itu turut dituntut membayar pampasan kepada saya melalui ganti rugi berjumlah RM10,000,000.
Menurut beliau, kegagalan memenuhi tuntutan-tuntutan seperti yang dinyatakan di dalam Surat Tuntutan tersebut akan mengakibatkan satu tindakan undang-undang akan diambil.
Wan Saiful berkata, peguamnya telah memaklumkan Tun Faisal melalui Peguam beliau telah menghantar surat jawapan balas bertarikh 12 Januari lalu dan surat itu sedang diteliti dan dikaji sebelum tindakan selanjutnya diputuskan. – MalaysiaGazette
















