KUALA LUMPUR – Seorang bapa dipenjara 16 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuan berusia dua bulan, hampir empat tahun lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Danial Iman Mohd. Sharif selepas mengaku bersalah tanpa syarat di bawah pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nur Fatihah Abdul Qayyum di sebuah rumah yang disewanya di Greenvalley Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini di antara 30 Julai 2022 dan keesokannya.
Pada asalnya, tertuduh didakwa di bawah pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut fakta kes, polis menerima panggilan daripada doktor sebuah klinik di Bandar Tasik Puteri yang memaklumkan seorang bayi berumur dua bulan dibawa ke klinik itu oleh ibu bapanya dalam keadaan kebiruan dan tiada tanda-tanda menunjukkan masih bernyawa.
Mangsa kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia.
Fakta turut menyatakan, pada 29 Julai 2022, tertuduh telah bergaduh dengan isterinya sehingga bertumbuk menyebabkan wanita itu masuk ke bilik tidur pada pukul 2 pagi dan meninggalkan mangsa di ruang tamu bersama tertuduh.
Kira-kira pukul 2.30 pagi, tertuduh bertindak mengambil mangsa dari atas kusyen dan menghempaskan bayi itu menyebabkan pinggangnya terhentak atas lantai lalu menangis.
Dua hari kemudian, semasa tertuduh sedang berehat di sofa pukul 5.45 petang, dia merentap tangan bayi perempuan itu, menekan perut dan menghempasnya ke lantai kerana berasa tertekan.
Ketika itu, kepala mangsa terkena bucu meja sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan.
Ibunya mendengar bayi perempuan itu menangis dengan kuat dan melihat bibir anaknya berdarah manakala nafasnya tersekat-sekat.
“Ketika itu, tertuduh memaklumkan dia menarik tangan bayi itu menyebabkan mangsa terhempas dan bibirnya terkena meja palet kayu,” demikian menurut alasan penghakiman bertarikh 15 Januari lalu yang diperolehi pihak media menerusi laman web mahkamah hari ini.
Menurut fakta lagi, Pakar Forensik Hospital Sungai Buloh, Profesor Dr. Razuin Rahimi mengesahkan punca kematian akibat pendarahan dalam kepala yang disebabkan oleh hentakan objek tumpul.
“Walaupun selepas hentakan, mangsa masih hidup dan menangis, namun pendarahan semakin banyak di dalam kepala dan otak yang bengkak menyebabkan si mati menjadi tidak sedar.
“Kematian berlaku akibat satu trauma fatal yang disebabkan oleh seorang pelaku sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















