KUALA LUMPUR – Kerajaan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim agar prinsip tadbir urus baik dan usaha membanteras rasuah terus diperkukuh demi kepentingan rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Beliau berkata demikian mengulas titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen hari ini yang menyentuh pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat dan pentadbiran negara.
Menurutnya, sidang Parlimen yang bermula esok akan memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahaskan perkara-perkara disentuh oleh YDPA, termasuk soal integriti, tadbir urus dan pembanterasan rasuah.
“Saya yakin banyak isu penting telah disentuh oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk bagaimana kita mahu melawan rasuah dan memastikan urus tadbir yang baik.
“Ahli-ahli Parlimen akan membahaskannya dengan sewajarnya dan pihak kerajaan akan menyediakan jawapan,” katanya kepada media pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) petang ini.
Mengulas langkah pentadbiran di Wilayah Persekutuan, Hannah berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ketelusan serta penglibatan wakil rakyat dalam proses membuat keputusan.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah pemberian akses kepada wakil rakyat terhadap Portal One Stop Centre (OSC) DBKL.
“Dengan memberi akses kepada wakil rakyat dipilih, kita mahu pastikan keputusan yang dibuat DBKL lebih telus dan benar-benar mengambilkira kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, langkah itu diyakini dapat membantu rakyat memperoleh keputusan yang lebih adil dan berkesan dalam urusan berkaitan pembangunan dan perkhidmatan bandar.
Dalam perkembangan lain, Hannah memaklumkan sebarang pengumuman lanjut mengenai perkara lain akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum dibuat secara rasmi kepada media.
“Kertas telah disediakan dan akan dibentangkan kepada Kabinet. Selepas itu barulah saya akan membuat sidang media,” katanya. -MalaysiaGazette
















