PONTIAN – Lima mat rempit ditahan positif dadah dalam Op Motosikal yang dijalankan selama dua hari sekitar Pusat Perdagangan Pontian dan Jalan Alsagoff di sini kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussien berkata, ujian saringan ujian air kencing mendapati kelima-lima lelaki berkenaan disahkan positif dadah jenis methamphetamine.
“Semasa tangkapan, polis turut merampas dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 0.62 gram daripada dua lelaki yang ditahan.
“Siasatan lanjut mendapati seorang daripada individu yang ditahan masih berada dalam senarai dikehendaki berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi tersebut dilakukan selepas susulan aduan awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu ketenteraman awam khususnya di kawasan tersebut.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan bantuan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Pontian serta sukarelawan polis.
“Hasil operasi, seramai 285 individu dan 218 buah kenderaan telah diperiksa. Sebanyak 138 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan dikesan termasuk ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, tidak mempamerkan nombor pendaftaran, menunggang motosikal tanpa brek serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 32 buah kenderaan terdiri daripada motosikal dan kenderaan lain turut disita mengikut Seksyen 64 akta sama bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan mengganggu ketenteraman penduduk setempat khususnya di kawasan tumpuan awam.
Tambahnya, ini kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan masyarakat.- MalaysiaGazette
















